Thursday, 22 March 2018

5 TABUNG SIMPANAN BERGAYA : OOH DUIT GAJIKU



Assalamualaikum.

Imbau balik kisah silam, masa memula terima gaji. Masa tu tahun 2010, saya baru start kerja. Waktu muda remaja tu bila dapat je duit gedebuk ribu-ribu dalam akaun bank, ligat je sel-sel otak berhubung. Macam-macam nak di beli sampai rasa "ini donia aku yang punya".

Bila dah matang, baru terperasan bahawa 'bodohnya aku tak pernah buat simpanan'.

Berkat kematangan tersebut, saya nak kongsikan beberapa teknik supaya muda mudi di luar sana mampu simpan bergaya dan tidak menyesal.

Berapa diperlukan untuk simpanan sebulan? Boleh jadi 10%, 20% atau 50% daripada pendapatan yang diterima. 

Setiap orang ada matlamat kewangan yang berbeza kan? Jadi, jumlah simpanan yang perlu kita simpan juga pastinya tidak sama.

Nak buat simpanana setiap bulan, paling utama yang kita perlu lakukan adalah menentukan matlamat bagi setiap simpanan. Contohnya perubatan, pelaburan, deposit rumah, melancong dan lain-lain.

Namun, ada beberapa simpanan serta matlamat sahaja yang kita perlu utamakan supaya tidak tersilap langkah lepas ni. Saya kongsikan 5 jenis tabung yang perlu kita ada.

(1) Tabung Kecemasan

Apa yang penting adalah tabung ini membantu kita sewaktu kita memerlukan. Contohnya, kereta rosak atau kehilangan barang. Pastikan juga tabung kecemasan ini mudah dicairkan dan boleh digunakan dengan cepat.

Jumlah simpanan yang perlu ada adalah tiga bulan gaji. Ini bermakna, jika gaji kita RM2,000 sebulan, maka kita memerlukan simpanan sebanyak RM6,000 di dalam tabung ini.

Teknik simpanan yang boleh kita ikut ialah asingkan sebanyak 10% daripada gaji setiap bulan untuk disimpan di dalam tabung kecemasan. Jadi, setiap bulan kita perlu simpan RM200 dan kita memerlukan 30 bulan atau 2.5 tahun untuk mencukupkan jumlah tabung tersebut.

(2) Tabung Perubatan

Tabung ini perlu ada supaya diri sendiri dan keluarga mendapat perlindungan sekiranya berlaku apa-apa dari segi kesihatan, kemalangan dan kematian. Seeloknya kita boleh mengambil pelan perlindungan (insuran) dengan kadar 5% hingga 10% daripada gaji.

Tabung simpanan atau pelan takaful ini penting supaya kita tidak terbeban dengan kos perubatan yang semakin meningkat. Tabung simpanan perubatan ini juga dipanggil sebagai satu pelaburan terhadap diri sendiri. Kita melaburkan satu perlindungan terhadap diri supaya simpanan dan duit kita tidak habis digunakan untuk membayar kos perubatan yang tinggi.

Setiap syarikat takaful mempunyai pelbagai jenis produk yang memberikan manfaat yang berbeza mengikut kehendak pelanggan. Oleh itu, pastikan kita membuat penilaian terlebih dahulu terhadap beberapa jenis pelan perlindungan yang ditawarkan.

(3) Tabung Pelaburan

Ia bergantung kepada jenis pelaburan yang ingin di sertai. Jika pelaburan seperti amanah saham atau ASB, kita boleh simpan 20% hingga 30% dari pendapatan kita kerana pelaburan ini mampu memberi pulangan yang baik.


Selain itu, jika anda mahu melabur dalam instrumen yang memerlukan satu modal yang besar seperti pelaburan hartanah, anda boleh jadikan tabung simpanan ini untuk mengumpul deposit awal iaitu sebanyak 10% dari harga rumah.

Anda perlu memiliki beberapa pelaburan untuk meningkatkan pendapatan anda sama ada melalui dividen atau sewa yang diterima.

Paling berkesan adalah pelaburan dalam simpanan emas. Kita sedia tahu, harga emas sentiasa meningkat dari tahun ke tahun. Semakin lama kita menyimpan emas, semakin tinggi nilainya. Emas juga kalis inflasi dan telah digunakan sejak zaman Rasulullah lagi dalam sistem berjual-beli. Antara syarikat emas yang boleh dipercayai adalah Syarikat Public Gold Sdn. Bhd.

(4) Tabung Rumah)

Impian setiap orang untuk mempunyai rumah sendiri kan? Namun, kita mempunyai masalah harga rumah yang semakin mahal dan inilah yang menjadi penghalang. Oleh itu, satu tabung simpanan perlu diwujudkan untuk dijadikan sebagai deposit rumah sekurang-kurangnya.

Jika inginkan rumah yang mahal, jumlah simpanan yang perlu ada setiap bulan juga mestilah tinggi. Begitu juga sebaliknya. Jika bermula membuat simpanan lebih awal, maka kita berpeluang memiliki rumah idaman dengan lebih cepat.

Simpanan yang perlu ada sebagai deposit rumah bergantung kepada harga rumah yang diinginkan. Jika harga rumah RM300,000, kita perlukan deposit sebanyak RM30,000 iaitu 10% daripada harga rumah.

Jika mengumpul deposit untuk beli rumah sendiri terlalu tinggi, kita boleh tukar tabung simpanan rumah ini menjadi tabung modal perniagaan. Keuntungan daripada perniagaan tersebut, boleh digunakan sebagai deposit rumah kan?

(5) Tabung Percutian

Ini adalah tabung terakhir yang patut dimiliki. Mungkin kita sudah penat dengan matlamat kewangan yang membuatkan kepala pening memikirkannya. Oleh itu, kita boleh rehatkan diri dengan pergi bercuti di dalam atau luar negara.

Tabung simpanan ini sangat penting bagi memastikan hidup kita menjadi seimbang dan juga pada masa yang sama dapat melepaskan segala tekanan kerja.

Jika bekerja dengan majikan, kita bernasih baik kerana mempunyai simpanan KWSP untuk masa depan. Bagi mereka yang tidak mempunyai simpanan KWSP, mungkin boleh memikirkan untuk memiliki satu simpanan untuk kegunaaan hari tua.

Bila difikirkan, agak sukar untuk mewujudkan semua tabung-tabung ini. Namun, ianya tidak mustahil kan? Sekiranya kita tidak mampu untuk buat semua, kita wujudkan dulu satu daripadanya. Mana tahu, lama-kelamaan tanpa sedar kita mampu wujudkan kelima-lima tabung ini.

Selamat menabung!

1 comment: